Wednesday, 17 August 2011

Bagaimana iman kita hari ini ?

 
Hakikat iman manusia yang dijadikan ada naik dan turunnya, menyebabkan kita tidak lari daripada memperbaharui iman kita setiap masa dan sentiasa mencari keredhaanNya serta mengembalikan ruh-ruh kita ke dalam kemanisan iman itu.
Manusia juga sepatutnya tidak lari daripada perasaan takut akan jatuhnya iman apabila datang cubaan yang menguji tahap keimanannya, dan apabila fitnah dunia mula meragut kecintaanya kepada Ilahi, dan apabila tentera iblis datang mewarnai hawa nafsu manusia agar ia jatuh ke dalamnya. Semua ini meletakkan manusia itu dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa.
Wahai sahabatku yang dikasihi, Adakah kamu tidak takut akan imanmu itu yang ada pasang surutnya? Ketahuilah, kekasih kita Ar-Rasul amat menitikberatkan naik turun iman tersebut. Dan sesungguhnya, Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa,

“Wahai Tuhan yang sentiasa membolak-balikkan hati, Engkau tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu”.
Baginda juga sentiasa berdoa siang dan malam,

“ Ya Allah, jauhkanlah aku dari kekafiran dan kekufuran.
Al-Faruq, Saidina Umar r.a sentiasa membezakan imannya antara kebenaran dan kebatilan, dan menjauhkan dirinya dari hasutan syaitan. Bahkan terdapat tanda di mukanya yang menunjukkan banyaknya beliau menangis kerana takutkan Allah, dan beliau mencela dirinya apabila mendapati imannya berkurang!
Iman bertambah dan berkurang
Memang menjadi hakikat bahawa iman manusia itu adakalanya melalui saat-saat keemasannya, dan kadangkala ia melalui saat-saat kegelepannya. Bahkan sifat ini adalah sunnah kehidupan itu sendiri, dan kita tidak lari daripada keadaan itu.
Abu Ja’afar berkata; “Iman itu bertambah dan berkurang. Apabila kita mengingati Allah dan bertasbih serta bertahmid kepadaNya, maka kesemua itu menambahkan iman. Jikalau kita lupa serta lalai dari mengingatiNya, maka kesemua itu akan mengurangkan tahap keimanan kita.
Allah juga telah berfirman di dalam al-Quran yang maksudnya;

 
4. (Tuhan Yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah Yang menurunkan semangat tenang tenteram ke Dalam hati orang-orang Yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta Dengan iman dan keyakinan mereka Yang sedia ada; pada hal Allah Menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
124. Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada Yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu Yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" adapun orang-orang Yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).
Tanda-tanda iman menjadi lemah Syaitan sentiasa mencuba untuk menyesatkan bani Adam sehinggalah datangnya hari kiamat. Amat rugilah bagi manusia itu jika dia tidak menyedari bahawa imannya sedang menuju ke lembah kebinasaan. Mukmin yang sebenar perlulah peka terhadap tahap keimanannya agar dia sentiasa berjaga dan berwaspada setiap masa.
Antara tanda-tanda iman kita lemah adalah:-
1. Merasa malas untuk melakukan solat berjemaah di masjid dan ini adalah salah satu sifat munafiq sepertimana yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran, maksudnya;
142. Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
2. Merasa susah untuk bangun bagi mengerjakan solat subuh. Baginda s.a.w bersabda; “Dua rakaat pada waktu fajar adalah lebih baik dari dunia dan seisinya”.
3. Tiada rasa khusyu’ di dalam solat dan sentiasa sibuk dengan urusan dunia.
4. Meninggalkan perkara-perkara sunat seperti solat sunat 2 rakaat selepas solat fardhu.
5. Meninggalkan Al-Quran tanpa dibaca


30. Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai".
6. Tidak endah apabila melihat manusia melakukan maksiat hatta diri sendiri melakukannya.
Iman kita tidak akan berkurang secara drastik, bahkan syaitan itu amatlah licik dengan menghasut kita sedikit demi sedikit sehinggalah kita tidak sedar bahawa iman kita semakin berkurang dan akhirnya kita akan tertanya-tanya, bilakah perkara ini terjadi? Bagaimana ianya boleh berlaku dan sebagainya.
Pada awalnya, kita akan mula mengambil sikap sambil lewa terhadap perkara-perkara sunat, sedangkan ianya merupakan senjata bagi mukmin itu sendiri. Kemudian kita akan mula meninggalkannya, dan seterusnya mula merasa berat untuk solat berjamaah. Kemudian kita solat bersendirian di rumah. Bila keadaan ini berlaku, solat fardhu akan dilewatkan kerana merasakan bahawa bakiwaktu solat masih ada. Dan akhirnya, kita akan meninggalkan solat fardhu tanpa disedari. Nah lihatlah, bukankah perkara ini berlaku dengan halus sekali?
Ini belum lagi kita Tanya diri kita tentang solat subuh berjemaah, Al-Quran kita, zikir harian yang perlu dilazimi setiap hari dan lain-lain ibadah pendinding iman kita.
Apakah cara untuk memperbaharui iman kita?
Amatlah perlu mukmin itu menyedari bahawa dia sedang diserang penyakit yang mampu menggugat imannya dan berusaha mencari jalan bagi mengubatinya. Dan ini telah menyempurnakan hampir separuh jalan bagi memperbaiki iman anda! Kerana mukmin yang tidak sedar dia sedang bermasalah, akan membuatkan dia terus berada di lereng-lereng api neraka.
Hasan Al-Basri Rahimahullah berkata; “Tidak dapat tidak, mukmin itu perlulah mengetahui apakah perkara yang merosakkan amal ibadahnya”.
Maka, separuh lagi dapat disempurnakan dengan melakukan amalan-amalan berikut:-
1. Duduk bersama para salihin.
- Sesungguhnya, duduk berkumpulan dapat menjaga kita dari berubah arah. Apatah lagi, kita duduk bersama orang-orang yang dilimpahi keimanan dan ketakwaan, yang akhirnya mejaga kita dari gangguan syaitan yang datang dari pelbagai arah apabila kita bersendirian.
2. Bekerjasama dalam melakukan amal
- Apabila sesuatu amalan itu sukar untuk dilakukan bersendirian, mintalah pertolongan daripada sahabat anda. Jika satu masa anda merasa susah untuk menunaikan subuh berjamah, suruhlah sahabat anda untuk mengejutkan anda, samaada datang ke rumah mengetuk pintu, mahupun menelefon anda, atau apa sahaja cara agar anda dapat menjaga amalan tersebut.
3. Mengajak orang lain kearah kebaikan
- Dakwah adalah satu amalan yang wajib bagi mukmin. Apabila kita melakukannya dengan mengajak orang lain kea rah kebaikan, secara automatiknya, diri kita akan tergerak sama unutk melakukannya terlebih dahulu.
4. Mengurangkan perkara-perkara harus.
- Perkara-perkara yang harus sebenarnya akan membawa kita kepada kelalaian apabila kita berlebih-lebih dengannya. Ingatlah, dunia ini hanya persinggahan, dan akhirat itulah destiansi yang berkekalan.
5. Muhasabah
- Lazimi diri anda dengan muhasabah amalan mingguan anda. Lebih baik jika ianya nada catatkan di atas kertas agar anda lebih Nampak, graf naik dan turun amalan anda.
6. Bersungguh dalam ibadah
- Hawa nafsu tidak dapat dilawan tanpa mujahadah. Ianya perlukan satu kekuatan mengatasi kekuatan mengalahkan musuh di hadapan mata. Kerana hawa nafsu sifatnya amat halus dan kita hampir tidak menyedari bahawa hawa itu sedang mengalahkan kita.
Ingatlah wahai ikhwanku, sesungguhnya iman itu terletak pada dua perkara, iman pada hati, dan iman yang dilafazkan dengan amal.

Tadahlah tangan anda ke langit, dan mohonlah pertolongan daripada Allah. Ingatlah, kemenangan Islam dilambatkan oleh maksiat yang sering kita lakukan. Bersegeralah, sebelum ajal menjemput kita. Ayuh perbaharui iman kita.

No comments:

Post a Comment