
Hakikat iman manusia yang dijadikan ada naik dan turunnya, menyebabkan kita tidak lari daripada memperbaharui iman kita setiap masa dan sentiasa mencari keredhaanNya serta mengembalikan ruh-ruh kita ke dalam kemanisan iman itu.
Manusia juga sepatutnya tidak lari daripada perasaan takut akan jatuhnya iman apabila datang cubaan yang menguji tahap keimanannya, dan apabila fitnah dunia mula meragut kecintaanya kepada Ilahi, dan apabila tentera iblis datang mewarnai hawa nafsu manusia agar ia jatuh ke dalamnya. Semua ini meletakkan manusia itu dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa.
Wahai sahabatku yang dikasihi, Adakah kamu tidak takut akan imanmu itu yang ada pasang surutnya? Ketahuilah, kekasih kita Ar-Rasul amat menitikberatkan naik turun iman tersebut. Dan sesungguhnya, Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa,
“Wahai Tuhan yang sentiasa membolak-balikkan hati, Engkau tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu”.
Baginda juga sentiasa berdoa siang dan malam,
“ Ya Allah, jauhkanlah aku dari kekafiran dan kekufuran.
Al-Faruq, Saidina Umar r.a sentiasa membezakan imannya antara kebenaran dan kebatilan, dan menjauhkan dirinya dari hasutan syaitan. Bahkan terdapat tanda di mukanya yang menunjukkan banyaknya beliau menangis kerana takutkan Allah, dan beliau mencela dirinya apabila mendapati imannya berkurang!
Iman bertambah dan berkurang
Memang menjadi hakikat bahawa iman manusia itu adakalanya melalui saat-saat keemasannya, dan kadangkala ia melalui saat-saat kegelepannya. Bahkan sifat ini adalah sunnah kehidupan itu sendiri, dan kita tidak lari daripada keadaan itu.
Abu Ja’afar berkata; “Iman itu bertambah dan berkurang. Apabila kita mengingati Allah dan bertasbih serta bertahmid kepadaNya, maka kesemua itu menambahkan iman. Jikalau kita lupa serta lalai dari mengingatiNya, maka kesemua itu akan mengurangkan tahap keimanan kita.
Allah juga telah berfirman di dalam al-Quran yang maksudnya;