Thursday, 6 October 2011

Akhlak yang mantap mesti ada pada semua yang bergelar DAEI.

BESUT, 30 Oktober 2011- Akhlak yang mantap merupakan kunci utama dalam membentuk keperibadian seorang daei serta tunjang dalam mengembangkan dakwah.

Kem Daie Cemerlang telah dilaksanakan baru-baru ini. Kem ini bertujuan  memberi pengetahuan tentang peranan seorang daei di zaman yang penuh cabaran ini. Kem ini telah berlangsung dengan kehadiran seramai 33 orang peserta beliawanis.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya ialah permainan ukhuwah, muhasabah diri dan pengisian yang bermanfaat.

Friday, 23 September 2011

Pemantapan Ilmu Melahirkan Penyampai Maklumat yang Berintergriti.





Pasir Puteh , 22 September : Pemantapan ilmu pengetahuan dan kemahiran menyebarluaskan maklumat dalam pelbagai bidang merupakan tunjang utama dalam melahirkan wartawan yang cemerlang. 

Sehubungan dengan itu, satu bengkel kewartawanan telah diadakan di Tadika Cemerlang Nur Mawaddah, Pasir Puteh bagi memantapkan lagi keupayaan  setiap peserta dalam menghasilkan berita-berita yang bernas dan menarik. 

Seramai 10 peserta telah mengikuti bengkel yang dianjurkan oleh Biro Media Wanita ISMA cawangan Kelantan, termasuklah wakil daripada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Kelab Remaja ISMA (KRIM) , Kelab Anak Hebat Malaysia ( NAZIM ) dan Wanita ISMA sendiri. 

Perhebatkan Usaha Dalam Membina Potensi Belia Masa Kini.

Alhamdulillah, sebagaimana yang kita ketahui Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA  ) terus mengorak langkah perjuangan untuk memastikan belia-belia pada hari ini terus tidak hanyut dalam dunia yang penuh global dan mencabar.

Dikesempatan ini, salah seorang tokoh beliawanis kita telah memberi sedikit ruang untuk berkongsi  pengalaman dan idea-idea baru untuk memberi  semangat kepada golongan beliawanis hari ini untuk terus maju mengorak langkah kehadapan dalam dakwah. Beliau ialah saudari Nurul Nurul Izza Binti M. Zahidi.

Saudari Izza mengagumi semangat yang ada pada belia sekarang dengan penubuhan pelbagai laman web seperti ini lebih mengalakkan lagi belia-belia mengetahui apa yang matlamat sebenar yang ingin disampaikan.

Beliau berkata : “ Secara jujurnya, saya memang menggagumi bakat, usaha dan potensi yang ada pada diri setiap wanita dan beliawanis ISMA Kelantan.Tahniah di atas usaha anda semua untuk mewujudkan dan memajukan blog ini. Hakikatnya, untuk mewujudkan blog hanya memakan masa selama seminggu atau pun dua minggu tetapi cabaran yang besar terletak selepas penubuhannya, iaitu untuk mengekalaktifkan blog ini.

Sepertimana seorang hafiz/hafizah, untuk menghafal 30 juzuk Insya Allah mudah, tetapi cabarannya adalah bagaimana untuk  mengingatinya sampai ruh terpisah dari jasadnya. Wallahu’alam. Dengan penubuhan blog ini, ia merupakan satu cabaran yang menuntut komitmen yang mantap dari setiap ahli ISMA Kelantan untuk mengekalaktifkannya”.

Wednesday, 17 August 2011

Bagaimana iman kita hari ini ?

 
Hakikat iman manusia yang dijadikan ada naik dan turunnya, menyebabkan kita tidak lari daripada memperbaharui iman kita setiap masa dan sentiasa mencari keredhaanNya serta mengembalikan ruh-ruh kita ke dalam kemanisan iman itu.
Manusia juga sepatutnya tidak lari daripada perasaan takut akan jatuhnya iman apabila datang cubaan yang menguji tahap keimanannya, dan apabila fitnah dunia mula meragut kecintaanya kepada Ilahi, dan apabila tentera iblis datang mewarnai hawa nafsu manusia agar ia jatuh ke dalamnya. Semua ini meletakkan manusia itu dalam keadaan berjaga-jaga setiap masa.
Wahai sahabatku yang dikasihi, Adakah kamu tidak takut akan imanmu itu yang ada pasang surutnya? Ketahuilah, kekasih kita Ar-Rasul amat menitikberatkan naik turun iman tersebut. Dan sesungguhnya, Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa,

“Wahai Tuhan yang sentiasa membolak-balikkan hati, Engkau tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu”.
Baginda juga sentiasa berdoa siang dan malam,

“ Ya Allah, jauhkanlah aku dari kekafiran dan kekufuran.
Al-Faruq, Saidina Umar r.a sentiasa membezakan imannya antara kebenaran dan kebatilan, dan menjauhkan dirinya dari hasutan syaitan. Bahkan terdapat tanda di mukanya yang menunjukkan banyaknya beliau menangis kerana takutkan Allah, dan beliau mencela dirinya apabila mendapati imannya berkurang!
Iman bertambah dan berkurang
Memang menjadi hakikat bahawa iman manusia itu adakalanya melalui saat-saat keemasannya, dan kadangkala ia melalui saat-saat kegelepannya. Bahkan sifat ini adalah sunnah kehidupan itu sendiri, dan kita tidak lari daripada keadaan itu.
Abu Ja’afar berkata; “Iman itu bertambah dan berkurang. Apabila kita mengingati Allah dan bertasbih serta bertahmid kepadaNya, maka kesemua itu menambahkan iman. Jikalau kita lupa serta lalai dari mengingatiNya, maka kesemua itu akan mengurangkan tahap keimanan kita.
Allah juga telah berfirman di dalam al-Quran yang maksudnya;

Sunday, 31 July 2011

Kembara Beliawanis ke Bukit Keluang


29 Julai, Besut – Bertemakan “ Riadah kerana Allah swt, Badan Sihat dan Berkualiti ”, beliawanis PEMBINA cawangan Kelantan telah mengadakan program kembara mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu. 


Program kembara ini diadakan bertujuan membina jati diri para peserta melalui aktiviti-aktiviti yang mencabar seperti mendaki bukit. Di samping itu juga, program kembara ini telah melibatkan para beliawanis seramai 68 orang yang berada di seluruh negeri Kelantan khususnya pelajar-pelajar IPT.  Justeru itu, mereka dapat berkenalan di antara satu sama lain dan saling bertukar buah fikiran.

Saturday, 23 July 2011

Kembara Beliawanis ke Kg. Perak Gua Musang.

Assalamuailaikum w.b.t
Alhamdulillah bersyukur  kepada Allah kerana kami berjaya juga sampai ke Gua Musang walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu.

Kami bertolak pada jam 5.30 petang, dari Kok Lanas. Di pertengahan perjalanan keadaan cuaca berubah menjadi hujan lebat, kesukaran kami tempuh jua dengan izin Allah swt.

Alhamdulillah, kami sampai di rumah Saudari Nordie Hashim dengan selamat. Kami disambut dengan ramah oleh keluarganya. Amalan memuliakan tetamu amatlah dituntut dalam agama Islam. 

Keesokannya, kami bertolak ke Sungai Stong. Perjalanan ke Sungai Stong mengambil masa 30 minit dari rumah Saudari Nordie. Lokasi ini merupakan tempat rekreasi bagi penduduk setempat.

MasyaAllah, setibanya kami di Sungai Stong, kami terpana seketika dengan kejernihan air sungai, batu-batu sungai yang pelbagai bentuk dan saiz serta keindahan alam yang cukup mengasyikkan.

Kami merasakan sungguh teruja untuk menikmati kesejukan air  Sungai Stong.

Sunday, 3 July 2011

Peranan Besar Kaum Hawa

Alhamdulillah, terdetik di hati ini untuk menceritakan perihal keistimewaan insan yang dinamakan perempuan. Betapa mulianya insan ini. Tangannya mampu menggoncang dunia biarpun lembut mengayun buaian.

Bukan ingin mengangkat diri ini kerana saya juga seorang perempuan tetapi ingin menyedarkan mereka yang pada saat ini sangat leka dan lalai dalam menilai indahnya penciptaan kaum hawa oleh Allah SWT.

Tidak ada sesuatu perkara itu dicipta tanpa sebab dan asbabnya. Diciptakan setiap makhluk itu punyai tugas dan tanggungjawabnya. Secara umumnya, ya! Memang setiap makhluk yang Allah ciptakan adalah semata-mata untuk beribadat kepadaNya. Firman Allah SWT,

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku." (Surah Adz Dzaariyaat; ayat 56)

Apa yang saya ingin bincangkan secara terperincinya berkisar hanya pada insan yang bernama perempuan. Perempuan diciptakan oleh Allah dengan penuh keistimewaannya. Mereka fitrahnya dihiasi dengan adab yang sopan, tutur kata yang melembutkan jiwa yang mendengarnya, serta tindakan yang lemah lembut mampu mencairkan insan yang diberi nama lelaki.

Wednesday, 29 June 2011

Media sebagai Wadah Perkongsian Tarbiyah - Ketua Wanita ISMA Kelantan

Segala puji hanya bagi Allah, kepadaNya kita memohon pertolongan, hidayah dan keampunan serta perlindungan dari segala keburukan hawa nafsu dan amalan. Sesiapa yang diberi hidayah oleh-Nya, pasti tidak ada sesiapa pun yang mampu menyesatkannnya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’in dan golongan yang mengikuti baginda s.a.w.
Kita bersyukur kerana Wanita ISMA telah sampai pada satu tahap yang amat membanggakan. Justeru itu, banyak program dan aktiviti yang dilaksanakan mempunyai objektif dan matlamat yang jelas. Sebagai usaha untuk berkongsi maklumat dan rujukan, Alhamdulillah Wanita ISMA Kelantan telah mengambil inisiatif dengan mengadakan blognya tersendiri. Bersyukur kepada Allah SWT kerana terbitnya blog Wanita ISMA Kelantan. Semoga ia mampu mengembangkan banyak lagi idea-idea bernas yang dapat menyebarkan maklumatnya kepada semua golongan masyarakat.
Sehubungan dengan terbinanya blog ini, harapan yang tinggi diberikan agar ianya menjadi medium perantaraan dan perkongsian yang sihat dalam "Membina Generasi Harapan". Diharap melalui blog ini juga perkongsian tarbiyah dapat berterusan dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh dalam menggembeling tenaga dan idea dari semua pihak dan tidak bergantung kepada satu pihak sahaja. Selaras dengan itu, maklumat yang dimuatkan kedalamnya haruslah sampai kepada pengetahuan semua.

Tuesday, 28 June 2011

Perkhemahan Wanita ISMA Kelantan 2011

Bachok, 23-25 Jun "Ukhuwah Mantap Dakwah Perkasa" merupakan tema bagi perkhemahan wanita ISMA cawangan Kelantan bertempat di Sri Muara Resort, Bachok.
         Perkhemahan ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu membina jatidiri individu muslim dan membina ukhuwah yang mantap.
        Turut sama turun padang dalam menjayakan perkhemahan ini ialah Ketua Wanita ISMA cawangan Kelantan Ustazah Wan 'Azilah Bt Wan Abdullah. Beliau telah membentangkan bahawa perlunya seseorang pendakwah itu, memenuhi 10 ciri-ciri peribadi muslim dalam menyusuri jalan dakwah.  Pembentangan ini telah disahut dengan penuh bersemangat oleh 36 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti telah di susun bagi melahirkan individu yang kuat dan bercita-cita tinggi. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah 'Eksplorace' , 'War games' , 'team building games' serta kawad kaki. Disamping itu juga, malam kesenian Islam turut diadakan dengan bertemakan " Kenali peribadiku ". Tema ini berkisarkan mengenali sahabat-sahabat nabi dengan lebih dekat lagi supaya peserta dapat mencontohi mereka.