Sunday, 31 July 2011

Kembara Beliawanis ke Bukit Keluang


29 Julai, Besut – Bertemakan “ Riadah kerana Allah swt, Badan Sihat dan Berkualiti ”, beliawanis PEMBINA cawangan Kelantan telah mengadakan program kembara mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu. 


Program kembara ini diadakan bertujuan membina jati diri para peserta melalui aktiviti-aktiviti yang mencabar seperti mendaki bukit. Di samping itu juga, program kembara ini telah melibatkan para beliawanis seramai 68 orang yang berada di seluruh negeri Kelantan khususnya pelajar-pelajar IPT.  Justeru itu, mereka dapat berkenalan di antara satu sama lain dan saling bertukar buah fikiran.

Saturday, 23 July 2011

Kembara Beliawanis ke Kg. Perak Gua Musang.

Assalamuailaikum w.b.t
Alhamdulillah bersyukur  kepada Allah kerana kami berjaya juga sampai ke Gua Musang walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu.

Kami bertolak pada jam 5.30 petang, dari Kok Lanas. Di pertengahan perjalanan keadaan cuaca berubah menjadi hujan lebat, kesukaran kami tempuh jua dengan izin Allah swt.

Alhamdulillah, kami sampai di rumah Saudari Nordie Hashim dengan selamat. Kami disambut dengan ramah oleh keluarganya. Amalan memuliakan tetamu amatlah dituntut dalam agama Islam. 

Keesokannya, kami bertolak ke Sungai Stong. Perjalanan ke Sungai Stong mengambil masa 30 minit dari rumah Saudari Nordie. Lokasi ini merupakan tempat rekreasi bagi penduduk setempat.

MasyaAllah, setibanya kami di Sungai Stong, kami terpana seketika dengan kejernihan air sungai, batu-batu sungai yang pelbagai bentuk dan saiz serta keindahan alam yang cukup mengasyikkan.

Kami merasakan sungguh teruja untuk menikmati kesejukan air  Sungai Stong.

Sunday, 3 July 2011

Peranan Besar Kaum Hawa

Alhamdulillah, terdetik di hati ini untuk menceritakan perihal keistimewaan insan yang dinamakan perempuan. Betapa mulianya insan ini. Tangannya mampu menggoncang dunia biarpun lembut mengayun buaian.

Bukan ingin mengangkat diri ini kerana saya juga seorang perempuan tetapi ingin menyedarkan mereka yang pada saat ini sangat leka dan lalai dalam menilai indahnya penciptaan kaum hawa oleh Allah SWT.

Tidak ada sesuatu perkara itu dicipta tanpa sebab dan asbabnya. Diciptakan setiap makhluk itu punyai tugas dan tanggungjawabnya. Secara umumnya, ya! Memang setiap makhluk yang Allah ciptakan adalah semata-mata untuk beribadat kepadaNya. Firman Allah SWT,

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku." (Surah Adz Dzaariyaat; ayat 56)

Apa yang saya ingin bincangkan secara terperincinya berkisar hanya pada insan yang bernama perempuan. Perempuan diciptakan oleh Allah dengan penuh keistimewaannya. Mereka fitrahnya dihiasi dengan adab yang sopan, tutur kata yang melembutkan jiwa yang mendengarnya, serta tindakan yang lemah lembut mampu mencairkan insan yang diberi nama lelaki.